Peranan Wanita dalam Pembinaan Aqidah Islam

PENGENALAN
Aqidah, iman atau pegangan atau kepercayaan atau keyakinan terhadap Allah Subhanahuwataala adalah asas kepada agama Islam. Ia ibarat tapak kepada sebuah rumah. Di atas tapak inilah didirikan tiang, bumbung dan segala yang menjadikan rumah tersebut, begitulah aqidah, amalan yang baik tidak dapat diterima tanpa aqidah,malah akhlak yang mulia tidak dapat di bentuk tanpa aqidah. Ini berarti aqidah merupakan keyakinan dan kepercayaan yang tersimpul kuat dihati sanubari tanpa ragu dan syak terhadap perkara yang wajib diimani seperti Illahiyyat (ketuhanan), Nubuwwat ( kenabian) dan Summiyat (ghaib) seperti wujudnya syurga, neraka dan makhluk-makhluk ghaib yang lain, serta pelaksanaan rukun-rukun Islam dan juga ihsan. Jika timbul ragu-ragu dalam hati, aqidah atau iman atau kepercayaan boleh dipersoalkan. Hati pula adalah sesuatu yang berbentuk maknawi atau spiritual yang terletak dalam lubuk ketulan hati yang bersifat meterial dan dalam tubuh manusia. Di hati inilah letaknya aqidah yang bersifat rabbani yang mempunyai hubungan yang istimewa dengan Allah. Aqidah inilah pengawal kepada setiap reaksi manusia.
Hubungan hati dengan iman dan keyakinan terbina dengan perlafazan dengan lidah melalui dua kalimah sahadah, meyakinkannya dengan hati serta membuktikannya dengan amalan anggota badan kesemua ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Keyakinan atau aqidah ini perlu dipelihara dan dididik dengan mengetahui bukan sahaja perkara yang mengukuhkannya malah perkara yang boleh merosakkannya sama ada melalui lisan, perbuatan dan hati.
PROSES PENDIDIKAN AQIDAH
Proses penanaman aqidah ini adalah merupakan proses pendidikan sepanjang hayat. Ia bermula ketika manusia berada di alam roh lagi, dimana manusia telah pun berikrar dan bersaksi kepada ke Esaan Allah sebagai al-Rabb dan Al-Illahi, malah itulah fitrah manusia. Manusia kemudian berada dalam kandungan ibu lalu roh ditiupkan oleh malaikat, manusia kemudiannya lupa dengan ikrarnya. Maka proses pendidikan aqidah perlu bermula. Kajian saintifik menunjukkan terdapat hubungan antara emosi ibu semasa mengandung dengan personaliti anak yang dilahirkan, ibu yang mengalami kemurungan emosi akan melahirkan anak yang sering menangis dan sedih. Kajian juga menunjukkan ibu yang minum arak atau mengambil dadah semasa mengandung melahirkan anak yang menunjukkan simptom ketagihan setelah dilahirkan oleh ibunya ke dunia. Kedua finomena ini menjelaskan kepada kita bahwa kedudukan bayi dalam kandungan ibu, bukanlah pasif malah ia mula menyerap alam sekelilingnya melalui perbuatan, perasaan dan gerak hati ibunya. Implikasi kepada situasi ini ialah, aqidah sebagai asas utama kehidupan atau hayat perlu dididik semasa dalam kandungan ibu lagi. Walaupun kita juga perlu mempercayai bahawa aqidah adalah anugerah Allah kepada manusia, tetapi ia juga dimasa yang sama perlu dididik dengan faktor yang membina keimanan dan memahami faktor yang membawa kekufuran. Oleh itu proses pendidikan, penyemaian, pembinaan dan pengukuhan iman atau aqidah ini mesti diusahakan berpandukan al Quran dan Al Hadith.
Oleh kerana proses pembinaan aqidah atau keyakinan terhadap Allah adalah merupakan satu proses pendidikan, memahami fitrah manusia adalah penting dan memahami proses manusia belajar juga adalah penting. Memahami bahawa fitrahnya manusia itu adalah satu ciptaan Allah yang mulia dengan penuh potensi untuk menjalankan kewajipan mereka sebagai kalifah Allah dibumi ini. Disamping itu kita juga memahami manusia berkeupayaan untuk lupa dan perlu dididik. Didikan itu bukan sahaja membentuk tingkah laku yang baik, akal yang cerdas, emosi yang matang tetapi mendidik hati yang yakin kepada kekuasaan Allah. Keyakinan dan ketaatan ini pula mesti dapat dimenifestasikan melalui amalan secara ikhlas dengan perilaku menurut ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Mendidik hati memerlukan pendidik yang berilmu dan berkemahiran dan berkeyakinan disamping mengetahui dan mahir dengan kaedah didikan yang pelbagai dan kreatif, kerana hati adalah tunjang kepada keimanan atau aqidah itu. Jadi siapakah pendidik penting kepada hati atau keyakinan atau aqidah ini, ia pastilah mereka yang signifikan dalam kehidupan atau hayat manusia itu. Ia adalah alam manusia tersebut. Alam termasuklah ibu, bapa, atau ganti ibu atau bapa, adik beradik, kaum keluarga, kawan dan rakan, guru-guru, suami isteri. Senarai ini tidak berkesudahan apabila alam individu makin berkembang, hanya kepentingan berbeza dari satu jangka hayat kesatu jangka hayat yang lain. Walaubagaimana pun peranan yang paling utama ialah peranan kedua ibu dan bapa. Mereka kedualah yang paling awal dan signifikan mewarnakan jenis keyakinan dan keimanan kepada kehidupan anak anak.

PERANAN WANITA DALAM PENDIDIKAN AQIDAH
Allah menjadikan manusia berpasang-pasang lelaki dan perempuan untuk saling bantu membantu dan saling melengkapi untuk merelisasikan matlamat hidup sebagai hamba yang beriman. Dengan itu peranan golongan lelaki dan perempuan adalah sama pentingnya dalam mendididik generasi dalam segenap bidang termasuklah pendidikan aqidah atau keyakinan dan keimanan terhadap Allah. Adalah tidak wajar sekiranya pembentukan aqidah ini dibiarkan tumbuh sendiri. Manusia menggunakan berjuta-juta uang untuk mendidik beberapa aspek pengetahuan seperti mempelajari ilmu Sains dan teknologi dan belajar kemahiran penting dalam kehidupan, makabegitu jugalah usaha membina aqidah, tidak boleh diandaikan akidah akan mantap dan matang dengan sendirinya.
Dalam usaha mendidik aqidah Islamiyah ini peranan wanita dan lelaki adalah sama imbang malah peranan wanita tidak pernah dipertikaikan. Apa yang penting ialah usaha yang terancang dan bermatlamat diperlukan bagi memastikan usaha mendidik ini mencapai matlamatnya. Wanita khususnya perlu mengetahui kaedah yang telah digariskan oleh Islam dalam menyemaikan roh aqidah Islamiah ini. Contah nama-nama wanita Islam yang berjaya menanamkan aqidah kepada warisan mereka ialah Umm Salim Al ramisa’ ibu kepada Anas bin malik, Hindun bt Utbah ibu kepada Mu’awiyah, Safiyyah ibu kepada Zubair, Asma bt Abu bakar ibu kepada Abdullah Bin Zubair. Nama-nama besar ini adalah membuktikan betapa besar peranan wanita dalam menanamkan aqidah yang kukuh sehingga membolehkan lahirnya pemimpin yang besar didalam Islam.
Kaedah Pembentukan aqidah
Menuntut Ilmu meningkatkan aqidah
1. Pembinaan aqidah atau apa juga jenis pendidikan perlulah bermula dengan melihat persediaan pendidiknya ia itu persediaan diri wanita itu sendiri yang bakal menjadi isteri dan ibu kepada anak-anak. Mereka ibarat sebuah institusi pendidikan yang bakal mengeluarkan tokoh-tokoh penting. Dalam menyemaikan benih aqidah , sesaorang wanita sama ada telah berkahwin atau tidak, perlu dahulu beriman dengan Allah dan mempunyai keyakinan yang kukuh atau aqidah yang mantap mengamalkan ajaran Rasullah SAW. Tuntutan menuntut ilmu bagi meningkatkan iman dan peningkatan aqidah adalah wajib sebagai panduan dalam menjalani kehidupan seterusnya. Kursus persediaan menghadapi perkahwinan yang kompresensif adalah perlu bagi membantu pasangan menyediakan diri dengan perubahan gaya hidup yang bakal dihadapi. Begitu juga dengan persediaan untuk membina rumah tangga ia itu apabila adanya kehadiran anak. Persediaan modul perkahwinan dan keibubapaan yang teliti dengan pelaksanaan yang teratur akan memberikan kesan yang diharap.
2. Memilih lelaki yang beriman
Perkahwinan adalah sunnah nabi. Ia merupakan institusi melahirkan generasi manusia dan memelihara kehormatan dan keturunan. Dalam usaha untuk memelihara aqidah, wanita boleh memilih jodoh dan bakal suami yang berimandan bertakwa. Ini adalah kerana suami adalah bakal menjadi pemimpin kepada keluarga yang bakal dibina. Lelaki yang beriman akan mencorakkan kehidupan wanita dan keluarga. Fitrahnya dalam sebuah keluarga, lelaki adalah pemimpin yang memimpin keluarga. Lelaki yang memelihara aqidah dan keimanan, akan menjadikan nilai yang mulia sebagai panduan hidupnya dan keluarganya.
Disamping itu bakal warisan yang dilahirkan juga berkait rapat dengan bapa dari kedua ibu dan bapa. Oleh itu pemilihan bakal suami yang baik akhlak dan beriman dapat membantu dalam mencorakkan kehidupan dan iman keluarga yang bakal dibina.
3. Pendidikan semasa hamil
Perkaitan antara apa yang berlaku semasa hamil dengan bayi di dalam kandungan, banyak sekali dikaji oleh pakar psikologi dan perubatan. Janin atau bayi yang dikandung sentiasa sensitif dengan apa yang berlaku dengan ibu yang mengandungkannya.Pemakanan ibu contohnya memberi kesan kepada kesihatan dan pembesaran anak. Pemakanan bukan sahaja baik tetapi halal perlu diberikan perhatian, begitu juga makanan yang halal perlu juga baik dan bersih. Makanan yang haram akan mendinding hati anak dari menerima hidayah dan didikan setelah ia dilahirkan.
Kesehatan ibu juga memberi kesan kepada kesehatan anak. Ibu yang mengandung terkena penyakit berbahaya semasa mengandung seperti Rubella, deman campak, siplis mungkin memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental anak. Keadaan kesehatan emosi ibu juga, didapati ada kaitan dengan emosi anak yang bakal dilahirkan. Ibu yang gembira dan merasa syukur dan bahagia akan melahirkan anak yang gembira dan mudah di pelihara. Begitu juga dengan aqidah, ibu perlu memperbanyakkan ibadat dan menjauhi maksiat semaga mengandung. Ibu digalakkan menghadiri kuliah agama, memahami aqidah, membaca cerita orang yang shaleh yang mempertahan aqidah dan berakhlak dengan sifat terpuji yang berkaitan dengan aqidah seperti ikhlas, sabar, tawakkal, muraqabah, muhasabah dan muhabbah. Tingkahlaku ini boleh membentuk pemahaman ibu dan anak yang bakal dilahirkan terhadap aqidah dengan mendalam.
4. Pendidikan Awal kelahiran
Bagi menyemai benih aqidah, waktu kelahiran adalah waktu yang penting bagi pemua untuk mengingati janji manusia di alam roh untuk mentaati Allah. Dengan itu peranan ibu bapa adalah melantunkan adzan ditelinga kanan dan iqamah ditelinga kiri seperti mana yang disunatkan oleh Islam. Pendengaran adalah deria pertama yang berfungsi semasa bayi dilahirkan dan memainkan peranan utama dalam menyalurkan maklumat ke dalam hati bayi tersebut. Menurut Abdullah Nasih Ulwan, hikmah azan dan iqamah ialah sebagai permulaan dakwah kepada Allah dan Agama Islam, sebelum syaitan datang membisikkan kata-kata kekufuran. Hati dikala itu ibarat satu bekas yang masih kosong dan bersih dan perlu diisi dengan kalimah-kalimah suci.
Disamping itu ibu juga perlu membantu dalam menjalankan amalan yang disuruh atau sunat seperti memberikan nama yang baik maknanya kepada anak. Nama adalah sangat penting kepada sesaorang individu. Nama yang baik akan membantu dalam membina konsep sendiri yang baik. Konsep sendiri yang baik akan membina keyakinan diri dan membentuk personaliti yang baik kepada individu. Di dalam Islam nama yang baik yang dipanggil berkali-kali akan menjadi doa yang baik kepada anak. Oleh itu pemilihan nama anak haruslah teliti, kerana ia akan menjadi identitas anak itu sepanjang hayatnya. Anak yang dilahirkan juga sunat di tahnikkan, ia itu perbuatan memasukan sedikit manisan (tamar) kemulut bayi sebelum ia munyusu, memasukkan kurma yang dihancurkan ini, membolehkan mulut bayi bergerak dan membantu dalam menghisap susu ibunya. Orang yang mentahnikkan digalakkan dipilih dari orang berilmu dan beriman agar mendapat berkat darinya. Anak juga digalakkan supaya di cukur rambutnya agar dapat membantu dalam menyehatkan badan dan pancaindera anak seperti kekuatan melihat, mendengar dan menyuburkan pertumbuhan rambut yang baru.
Sebagai tanda kesyukuran amalan akikah juga dilakukan dihari ketujuh kelahiran anak. Ia juga petanda amalan pertama bagi anak tersebut bertaqarrabu kepada Allah dan kesyukuran dan pohon keselamatan. Manakala amalan berkhatan pula adalah satu lambang kebersihan dan kesehatan diri bagi anak-anak. Amalan–amalan di atas mempunyai pengaruh kepada pembentukan aqidah dan sahsiah anak-anak. Ia membedakan antara pendidikan awal anak-anak Islam dan bukan Islam.
5. Lima tahun pertama
Lima tahun pertama kehidupan mengikut pakar psikologi Erick Erickson (1976) dan pakar-pakar perubatan, adalah merupakan satu masa yang sangat penting dan banyak sekali menghadapi perubahan dan pertumbuhan. Secara fizikalnya kita melihat anak akan menghadapi perubahan fizikal dari terlentang hingga berjalan dan berlari, dari hanya menangis kini boleh bercakap. Pakar psikologi berpendapat, di lima tahun pertama ini terbentuknya personaliti anak, malah ditahap umur ini peranan ibu dalam membentuk aqidah perlu sekali diaktifkan. Anak–anak diumur ini belajar dengan menggunakan seluruh pancaindera mereka. Mereka sensitif alam . Apa yang dilihat dan didengar akan di
contohi (modeling), tidak ada pelakuan ibu bapa yang terlepas dari dicontohi oleh anak. Kemahiran membelai dan komunikasi ibu amat penting. Suara ibu, eksperessi muka dan sentuhan ibu memberi kesan kepada pembentukan sahsiah anak. Kajian menunjukkan ibu yang tidak pernah merasa kasih sayang atau disayangi semasa kanak-kanak, tidak tahu bagaimana untuk menyatakan dan memberikan kasih sayang kepada orang lain. Begitulah sensitifnya jangka masa ini. Keluarga yang menjalankan ibadah seperti Shalat, membaca qur’an, menyuapkan makanan dengan membacakan bismillah permulaannya, bersalaman dan berkasih sayang akan dicontohi oleh anak. Ibu sebagai pendamping utama anak perlu mengisi fitrah anak ini dengan berbagai kaedah pendidikan. Anak-anak yang dinyanyikan dengan lagu memuji Allah dan Rasul adalah merupakan tarbiah yang baik sebagai permulaan menyemai benih iman ke dalam hati anak-anak. Anak-anak sangat suka mendengar suara ibu dan merasa sangat selamat apabila didodoikan oleh ibu. Malah kaedah nyanyian adalah kaedah yang paling berkesan dalam menyampaikan maklumat penting , kerana fitrah manusia berjiwa halus dan seni. Suara ibu adalah satu nikmat bagi anak-anak. Ciptaan nyanyian anak-anak yang berunsur menamankan aqidah dan mengenali penciptanya mesti diusahakan bagi membantu ibu ibu dalam menjalankan tanggungjawab membina aqidah ini. Disamping itu kegemaran anak-anak melihat warna dan gambar yang cantik serta berwarna warni juga perlu digunakan dengan menggalakan ciptaan cerita-cerita mudah yang boleh membantu ibu membacakan kepada anak kecil dilingkungan dua tahun semasa mereka lapang dan akan tidur. Cerita–cerita yang berkaitan dengan kekayaan dan kehebatan Allah dan Rasulnya akan memudahkan anak-anak nantinya memahami penciptanya. Ciptaan buku yang cantik berwarna dan cerita yang mudah dan menarik akan membantu usaha ibu dalam membina aqidah Islamiyah anak-anak.
Di zaman moden kini kita mendapati agak sukar juga ibu bapa untuk memilih bahan tontonan yang sesuai untuk membina jiwa anak-anak. Bahan-bahan yang diimpor kebayakannya berunsur ganas malah terdapat juga yang mencabar proses pembinaan aqidah Islamiyah. Misalnya kartun Doremon, ia merupakan kegemaran kanak-kanak kerana karikatur yang terlibat adalah anak-anak dan memperlihatkan adanya kuasa menjadikan di tangan Doremon. Walaupun ia remeh ia juga mudah difahami oleh anak-anak bahwa kuasa menukar dan menjadikan itu didalam poket Doremon. Ramai juga anak-anak kita yang taksub dan meminati kartun ini. Soalnya adakah mereka percaya bahwa kuasa menjadikan dan menukar di dalam poket Doremon? Oleh itu masyarakat Islam harus melihat kuasa yang ada kepada kartun ini. Bagaimana kartun ini boleh membantu usaha ibu-ibu membuat pilihan dalam membentuk aqidah anak-anak agar proses penyemaian aqidah diperingkat anak-anak
berjalan mudah dan subur.
Dimasa ini boleh dikatakan umat Islam tidak mempunyai pilihan untuk mengunakan medium ICT dalam membina aqidah Islamiyah. Hasil bahan media massa masih kurang membantu, memandangkan kurangnya usaha diambil untuk menggunakan media massa sebagai alat mendidik aqidah Islamiyah ini. Hasil seni dalam rancangan tv seperti kartun yang dapat meningkatkan aqidah Islam anak-anak amat kurang, sedangkan hasil kartun yang lain melimpahi ruang hidup kanak-kanak Islam, ini adalah satu cabaran yang benar dan perlu diuruskan oleh umat Islam sendiri. Pembelajaran secara meniru atau mencontohi (modeling) perlu juga ditambah dengan cara mengajar diulang (latih tubi). Pengajaran membaca al qur’an boleh dimulakan apabila anak berkebolehan untuk bertutur dengan sempurna. Nyanyian menyebut nama-nama Allah adalah juga boleh dijadikan nyanyian bersama antara ibu dan anak. Hubungan lemah lembut dan kasih sayang antara ibu dan anak membentuk jiwa anak yang pengasih dan penuh tawadduk kepada ibu dan penciptanya.
6. Menjelang aqil baligh
Menjelang aqil baligh ia itu ketika jangka umur tujuh ke sepuluh tahun, ibu perlu bertindak seperti seorang guru yang tegas dan penyayang. Anak perlu diajar asas ibadat seperti bersuci, cara mendirikan solat dengan sempurna, tatacara kehidupan Islam yang sebenarnya. Tunjuk ajar dan pujukan diperlukan untuk membantu anak mempraktikkan peranan mereka. Seperti yang sering dipraktik oleh sesetengah keluarga dalam melatih berpuasa, ibu boleh melatih anak berpuasa dengan memberikan ganjaran seperti menyedikan makanan yang disukai, mendapat sedikit wang poket untuk berhari raya dll. Bagi anak yang tidak berpuasa mungkin tidak dibenarkan makan sekali dengan mereka yang berpuasa, ini merupakan dendaan yang halus dan baik. Amalan solat berjemaah antara keluarga diumur ini bukan sahaja membantu dalam membolehkan ibadat disempurna dengan baik dan betul tetapi juga meningkatkan disiplin diri anak-anak.
Apabila anak semakin matang, pengukuhan disiplin atau peraturan dalam kehidupan mestilah jelas dan tidak bercanggah. Ibu dan ayah mesti sama bersetuju dengan disiplin atau peraturan dalam kehidupan rumah tangga. Percanggahan peraturan atau disiplin rumah tangga akan membawa kecelaruan kepada anak-anak. Disiplin termasuklah hubungan dengan ahli keluarga, tingkahlaku dan akhlak dan aqidah. Disamping memperkukuhkan disiplin diri, bimbingan yang baik juga diperlukan dalam membantu anak membina kemahiran dalam membuat keputusan. Diumur ini anak mula menggunakan pemikiran dan emosi mereka dalam membuat keputusan. Antara keputusan yang penting mungkin berkaitan dengan pemilihan rakan sebaya. Memilih rakan sebaya sering menjadi isu di awal remaja ini. Dipilih atau tidak dipilih juga menjadi isu penting. Anak perlu dibimbing memilih rakan yang baik, rakan yang baik berkemungkinan membantu dalam pembinaan akhlak yang baik juga. Kemahiran ibu dalam membimbing membina kemahiran ini adalah penting. Kebolehan ibu berkumunikasi dengan baik, bercakap tanpa perlu marah, berbincang tanpa memperkecilkan pandangan anak-anak adalah penting. Anak perlu merasakan ia diterima,
dihormati dan dikasihi, perasaan yang sama akan timbul dihati anak kepada ibubapa mereka.
7. Dari aqil baligh ( remaja) ke dewasa
Ahli psikologi melabelkan zaman ini sebagai zaman pancaroba. Selain dari zaman kanak-kanak zaman ini adalah juga dizaman manusia menerima perubahan. Perubahan fizikal dan akal dan emosi. Di zaman ini juga dunia individu mula menjadi luas dan terbuka. Ibubapa mula kurang pengaruhnya jika tidak dikawal, rakan–rakan menjadi penting. Ini berarti ibu dan bapa juga perlu memainkan peranan lebih sebagai rekan, dimana bersikap lebih menerima dan terbuka agar memberi ruang kepada anak untuk bercakap dan berbincang dengan selesa dan mudah dengan kedua ibubapa. Sekiranya hubungan ibubapa anak tidak berlaku, rekan atan menjadi pilihan utama. Oleh itu ibu terutamanya perlu
memahami apa yang sedang dialami oleh anak di zaman ini.
Perbincangan secara dewasa dari ibu kepada anak dalam apa jua perkara sangat penting. Ibu perlu berkemahiran melayan dan mendengar serta memberikan pandangan dengan baik dan kasih sayang. Godaan dan cobaan yang dihadapi oleh anak akan menyentuh perasaan, pemikiran dan tingkahlaku anak-anak. Anak yang tidak dapat menjalin hubungan yang baik dengan ibu dan bapa selalu kecundang dan menagalami kesukaran dalam mengharungi zaman ini.
Pengukuhan aqidah anak-anak harus terus diusahakan dimana banyak persoalan dan pemasalahan yang bakal dihadapi anak-anak mungkin akan turut mencabar aqidah mereka di tahap umur ini. Pengalaman kekecewaan dan dukacita sering membawa kepada persoalan seperti mengapa saya, mempersoalkan keadilan dll. Ini memerlukan pegangan aqidah yang kukuh. Peranan ibu dalam meyakinkan anak-anak dengan memberikan masa untuk mendengar , memberi bimbingan dan nasihat serta meyakinkan adalah penting. Anak akan lebih yakin berkongsi dengan ibu berbanding dengan orang lain sekiranya ibu berkebolehan ia itu mempunyai ilmu, berkemahiran dalam komunikasi, memahami, sabar, memberikan masa dan menerima tanpa syarat kepada apapun pemasalahan anak-anak.
Sekiranya anak telah menguasai asas-asas aqidah, ditambah pula dengan bahan-bahan bacaan yang disediakan dirumah berkemungkinan besar anak-anak akan mudah menghadapi hidup dan membuat keputusan dengan baik berpandukan aqidah yang betul yang berasaskan quraan dan sunnah. Tanggung jawab ibu sebenarnya tidak pernah berakhir. Walaupun anak kini dewasa mereka sentiasa akan menghadapi dunia yang penuh cobaan dan mengancam aqidah mereka. Kehadiran seorang ibu akan memberikan keselesaan sebagai tempat untuk pulang dan mengadu. Keutuhan aqidah juga akan membantu dalam membina sikap menghormati dan mentaati seorang anak kepada ibu bapanya.
PENUTUP
Aqidah yang kukuh pembinaan dan pegangannya kepada kekuasaan Allah adalah merupakan rujukan utama manusia dalam menguruskan kehidupannya. Pendidikan hati yang merupakan tapak aqidah jika dilaksanakan dengan teliti adalah merupakan kawalan kepada tingkahlaku manusia. Ikatan hati yang teguh dengan Allah sebagai penciptanya, membuatkan manusia tunduk dan sedar dengan kedudukannya sebagai hamba. Ini juga menyebabkan individu merasa takut untuk melakukan kezaliman sesama sendiri, membinasakan alam dan diri sendiri ( hedonism). Ini adalah kerana manusia sangat menyedari Allah sentisa melihat dan mengetahui segala gerak hati dan tingkahlakunya. Kejayaan ibu bapa membina aqidah juga dapat mengurangi penyakit sosial seperti penginayaan, rasuah, rompakan, dengki hati dll. yang merupakan larangan dan cabaran kepada aqidah Islamiyah. Dengan pembinaan aqidah yang kukuh juga kita dapat melihat masyarakat yang bekerja keras dan redha. Ekonomi meningkat bagi menjana harta dan zakat. Dengan arti kata lain kemakmuran sesebuah negara itu pasti terjamin dengan adanya modal insan yang bertaqwa dan aqidah yang kukuh yang datangnya dari sebuah rumah tangga yang mulia aqidah dan pegangnya.
Disini bolehlah disimpulkan bahawa pengukuhan aqidah dalam diri manusia boleh diurus dan dirancang melalui proses pendidikan. Pengurusan penyemaian aqidah adalah sangat relevan bagi tujuan membangunkan modal insan disesebuah keluarga dan negara. Dengan kaedah yang betul dan usaha yang bersungguh-sungguh dari setiap golongan dan juga dengan didikan khusus yang disediakan untuk kaum wanita, usaha pemantapan aqidah ini pasti dapat direalisasikan.

11
RUJUKAN
Abdullah Nasih Ulwan. Tarbiyyah Al- Awlad Fi Al – Islam. Jilid 1 Bayrut : Dar
Ihya’al- Turath al- Arabi. Ms 69.
Bathia , K.K. ( 2001) Foundation Of Teaching and Learning Process. Tendon
Publication. Ludhiana City.
Dewan Bahasa Pustaka ( 1996) Kamus Dewan , Kuala Lumpur, Edisi Ketiga.
Duvall. E.M.( 1977) Marriage and Family Development. J.B. Lippincott Co.
Philidelphia , New York.
Erick-Erickson (1976) Developmental Psychology , Mc Graw Hill New York.
Muhammad Al- Ghazali ( 2002) Akhlak Seorang Muslim. Crescent News (KL) Sdn.
Bhd. Bandar Baru Bangi, Selangor.
Al- Ghazzali (1995) : Ihya’ Ulum-Al-Din , Bayrut ; Dar-Al Fikr.
Priestley, P. Mc Guire, J.Flegg , D. Hemsley, V and Welham, D. ( 1982) Social skills
and Personal Problem Solving. Tavistok Publication. New York.
Sharma A.S. ( 2005 ) Counseling Psychology. Commonwealth Publisher, Delhi.

Komentar

Postingan Populer